≡ Menu

Dua Iktibar Peristiwa Hijrah bagi Pekerja Muslim

Setiap awal Muharram, kita diperingatkan dengan sebuah peristiwa yang sangat bersejarah di dalam kehidupan Nabi junjungan kita, Muhammad saw dan sahabatnya. Digelar dari masa ke semasa sebagai “Hijrah”, perjalanan yang panjang dan berbahaya dari Makkah ke Madinah adalah satu titik perubahan bagi umat Islam di waktu itu dan generasi seterusnya. Seorang pemikir Islam yang unggul, Haji Abdul Malik Abdul Karim Amrullah di dalam karya agungnya, Sejarah Umat Islam, membayangkan peristiwa hijrah sebagai

“penghidupan yang baru. Di sanalah terdapat keteguhan dan kekuatan. Di sanalah mulai didirikan Negara yang beliau cita-citakan itu, Negara Islam, Negara Tauhid.”

Oleh kerana peristiwa hijrah membawa kesan yang sangat mendalam dan menyetuh hati kepada generasi pada waktu itu, ia telah dipilih oleh Khalifah Umar Ibn Khattab untuk menandakan permulaan kalendar Islam.

Banyak iktibar yang dapat kita perolehi dari peristiwa itu dan tidak kurang juga buku dan makalah yang ditulis mengenainya. Sempena Majlis Maal Hijrah ini, saya ingin membawa perhatian kita kepada dua iktibar yang dapat kita jadikan sandaran di dalam usaha kita untuk memperteguhkan pekerjaan kita seharian.

Pertama, adalah peripentingnya niat dan matlamat yang suci. Rasulullah menekankan agar sahabat berhijrah hanya untuk mendapat keredhaan Allah dan bukan untuk keduniaan semata-semata. Niat dan matlamat ibarat benih, yang kalau ditanam di dalam tanah yang subur kemudian disirami, dipelihara, dipupuk, dan dirawat akan membawa kepada pohon yang berbuah dan memanfaatkan persekitarnya.

Begitu juga dengan pekerjaan kita. Niat dan matlamat memainkan peranan yang penting bagi mencorak motivasi kita di dalam mencari rezki bagi diri kita dan keluarga. Begitu pentingnya niat dan matlamat di dalam hidup seseorang pekerja Muslim sehingga sebahagian besar ulama memulakan buku-buku mereka dengan memperjelaskan niat mereka.

“Niat”, menurut Syeikh Yusuf Al-Qardhawy, “adalah ruh amal, inti dan sendinya. Amal mengikut niat. Amal menjadi benar kerana niat yang benar, dan amal menjadi rosak kerana niat yang rosak.”

Soalan yang harus kita tanya diri kita didalam bekerja ialah: Amal ini untuk apa dan untuk siapa? Siapakah yang bakal meraih kebaikan dari apa yang kita lakukan? Adakah pekerjaan ini ikhlas untuk Allah swt semata-semata? Memang lazimnya manusia ini sentiasa lupa. Peristiwa hijrah mengingatkan kita kembali betapa niat dan matlamat yang baik beserta amal yang baik membawa kepada lebih kebaikan. Amal yang beserta niat untuk kepentingan peribadi membawa kepada itu sahaja.

Tidak hairanlah Imam Nawawi memulakan koleksi hadis 40-nya dengan niat:

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu (Hadith #1).”
Kita meraih apa yang kita niatkan.

Kedua, peristiwa hijrah mengajar kita mengenai kepentingan strategi yang terancang di dalam mengendalikan pekerjaan kita. Seperti kata pepatah lama: “Jika anda gagal untuk merancang, anda merancang untuk gagal.”

Perancangan yang rapi yang telah menjadikan hijrah Rasulullah itu satu proses yang lancar walaupun beliau menghadapi beberapa halangan di kala perjalanan ke Madinah. Dan tanpa kita sedari, Rasulullah adalah seorang perancang yang sangat hebat atau “a strategist par excellence.” Beliau merancang dakwah Islam dengan rapi supaya kesan dari risalah yang beliau sampaikan dapat dirasakan oleh orang bukan Islam walaupun mereka tidak mahu memeluk agama Islam.

Strategi di dalam menjadi pekerja yang efektif sangat mendesak di dalam konteks kita hari ini. Setiap hari, an kita dihadapi dengan maklumat yang berlebihan (atau information overload) oleh kerana revolusi digital di zaman ini. Antara kesan information overload ini adalah pembuangan masa.

Di dalam menghadapi cabaran ini, para pekerja Muslim harus melakarkan strategi yang padat. Tidak cukup hanya datang kerja seharian dan melakukan apa yang dihrapkan dari kita. Para pekerja Muslim harus mengorak langkah supaya usaha dan bicara mereka akan kedengaran di seberapa banyak platform dan saluran di dalam pekerjaan mereka. Kelakuan dan pekerjaan mereka juga harus menarik perhatian majikan.

Untuk merealisasikan sedemikian, perancangan yang rapi sangat diperlukan. Pekerja Muslim yang tidak merancang tidak akan mencapai apa-apa di dalam kerjayanya dan usahanya.

Moga kedua-dua iktibar dari peristiwa hijrah ini akan menjadikan kita pekerja Muslim yang Berjaya!

 

 

Image source: public-domain-image.com

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment

Previous post: