≡ Menu

Tunggak Pembinaan Tamadun Singapura: Raja-Raja Melayu di Abad ke-14 Bahagian 1

Pergilah tuan-hamba kembali. Katakan kapada bonda, bahawa kami tiadalah kembali. Jikalau ada kaseh bonda akan kita, berilah kita raayat dan gajah kuda. Kita hendak membuat negeri di-Temasek ini.

Termaktub di dalam Sejarah Melayu, kata-kata berikut telah diucapkan oleh seorang Putera Palembang, Sang Nila Utama, yang telah mengambil keputusan untuk meneroka ke sebuah pulau usang bernama Temasek. Beliau kemudiannya meletakkan asas pertumbuhan sebuah bandar pelabuhan di pulau tersebut dan merubah namanya menjadi Singapura. Ahli-ahli sejarah telah lama membahaskan identiti pengasas Singapura serta raja terakhir yang memerintah sebelum kemusnahan pelabuhan tersebut pada abad ke-14. Sesetengah ahli sejarah membawa andaian bahawa “Sang Nila Utama”, “Tan Sri Buana” dan “Parameswara” merujuk kepada raja yang sama, yang telah membina Singapura sebagai sebuah tamadun yang ulung. Pendapat lain pula berhujah bahawa ketiga-tiga nama itu merujuk kepada raja-raja yang berbeza yang hidup di masa yang lain.1 Walaupun ada perselisihan pendapat di kalangan ahli sejarah mengenai identiti raja Singapura yang sebenarnya, tidak ada penafian bahawa Singapura adalah salah satu pusat perdagangan yang makmur di dalam dunia Melayu semasa pemerintahan kelima raja-raja Melayu di abad ke-14.

Makalah ini menerokai usaha raja-raja Melayu di dalam pembangunan Singapura sebagai sebuah “pelabuhan tatanegara Selat Melaka”2 yang berkembang pesat dan, yang lebih penting lagi, sebagai sebuah tamadun yang unggul. Saya menggunakan perkataan ‘tamadun’ di sini untuk merujuk kepada sebuah bandar yang mempunyai pelbagai pencapaian yang dikagumi dan yang mempamerkan beberapa ciri-ciri iaitu: (1) kehadiran hubungan mesra antara bandar tersebut dengan bandar-bandar lain, (2) terwujudnya sebuah pemerintah yang kuat dan stabil (3) terciptanya satu sistem ekonomi yang memastikan sejahteraan penduduk; dan yang (4) mempunyai budaya yang tinggi dan masyarakat yang teratur. Ke-empat-empat aspek ini menentukan samada tamadun memang hadir di Singapura pada abad ke-14. Fakta sejarah memberi bukti bahawa raja-raja Melayu telah berjaya membina tamadun Singapura yang mempunyai keempat aspek tersebut, walaupun, dalam cara dan bentuk yang berbeza-beza di dalam peralihan masa.

Tamadun yang mengkagumkan ini terletak di dua penempatan utama di Singapura pada abad ke-14. Pertama, di “Banzu” (terjemahan Cina perkataan Melayu “Pancur”) di kawasan Sungai Singapura, Fort Canning Hill, Stamford Road dan Padang. Kedua, di “Long-ya-men” atau “Batu Berlayar”, di antara Keppel Bay dan Labrador Park jika kita menggunakan peta kontemporari. Kebangkitan dan kejatuhan Singapura sebagai sebuah tamadun dalam zaman yang pra-kolonial lazimnya tergantung kepada kebijaksanaan strategik dan dasar-dasar kreatif raja-raja Melayu. Dalam pada itu, makalah akan dengan memberikan keterangan ringkas sejarah kehidupan kelima-lima raja-raja yang memerintah Singapura pada abad ke-14.

Bersambung Bahagian 2

1 Mark Ravinder Frost and Yu-Mei Balasingamchow, Singapore: A Biography (Singapore: Editions Didiet Millet, 2009), pp. 22-25.

2 Derek Heng, “Indigenising Singapore’s Past: An Approach towards Internalising Singapore’s Settlement History from the Late Thirteenth to Twenty-First Centuries,” in Derek Heng (ed.), New Perspectives and Sources on the History of Singapore (Singapore: National Library Board, 2006), p. 15-27.

Photo Credit: chooyutshing via Compfight cc

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment