≡ Menu

Tunggak Pembinaan Tamadun Singapura: Raja-Raja Melayu di Abad ke-14 Bahagian 2

Lanjutan dari Bahagian 1

Sebelum melangkah lebih jauh, catatan mengenai sumber amat diperlukan bagi memaparkan metodologi kajian ini. Sejarawan telah banyak menimba manfaat dari pelbagai sumber Melayu dan bukan Melayu untuk memberikan interpretasi segar bagi peranan raja-raja Melayu di dalam membentuk Singapura. Tapi mereka berselisih faham mengenai isu sumber mana yang lebih utama. Bagi kajian ini, saya telah menceduk yang banyak fakta dari Sejarah Melayu. Meskipun ini sumber yang telah diketepikan oleh kebanyakan sejarawan moden yang menganggapnya sebagai mitos semata-mata, saya berpandu kepada optimisme pandangan penulis seperti R.J. Wilkinson yang menyatakan bahwa Sejarah Melayu “memberikan gambaran hidup tepat zamannya…..oleh itu ia adalah sumber yang sangat penting bagi sejarawan ilmiah yang lebih prihatin akan soal kondisi rakyat pada masa itu.”2 Pada hemat saya, tugas seorang sejarawan adalah untuk menggali fakta yang jelas dari Sejarah Melayu dan mengukuhkan gambaran tersebut dengan bahan-bahan yang lain. Antara sumber yang diperlukan adalah teks dan manuskrip di dalam bahasa Jawa, Cina, Portugis dan bahan-bahan arkeologi. Penggunaan sumber-sumber ini akan dapat memberi gambaran lengkap bagaimana raja-raja di Singapura abad ke-14 memainkan peranan yang besar di dalam mengubah pulau itu bagi menjadi sebuah warisan sejarah yang diingati dan dikenang oleh generasi akan datang.

Lima Raja yang Memerintah Singapura

Sejarah Melayu menyatakan bahawa terdapat lima raja-raja yang memerintah Singapura pada abad ke-14. Sang Nila Utama (Sri Tri Buana), seorang putera Sumatera berketurunan dewa dan raja Zulkarnain, berhijrah dengan pengikut-pengikutnya dari Palembang ke Temasek dan memerintah selama 40 tahun dari 1299 hingga 1347. Sama seperti kebanyakan cerita penumbuhan kerajaan-kerajaan Melayu yang lain, Singapura diasaskan dengan secara tidak sengaja dan di dalam kondisi yang agak sukar. Menurut Sejarah Melayu, Sang Nila Utama sedang memburu di pulau Bintan. Dari jauh, dia melihat sebuah pulau yang berpasir putih berkilat dan memutuskan untuk membuat perjalanan di sana. Di dalam perjalanan, beliau dihadapi lautan bergelora tetapi dapat menyelamatkan diri dengan membuang mahkota berharga.3 Pembuangan mahkota ini boleh ditafsirkan sebagai satu kiasan bagi menunjukkan bahawa Sang Nila rela meninggalkan tempat asal dan kedudukannya untuk membina kerajaan yang baru berdasarkan titik peluhnya sendiri. Ketika di Temasek, Sang Nila ternampak seekor binatang buas, yang diakui sebagai singa. Beliau memutuskan untuk menamakan pulau itu, Singapura, yang bermakna “Kota Singa.”

Jika kita menolak dan mengetepikan aspek mitos yang termaktub di dalam kisah penamaan dan perbukaan Singapura, kita boleh simpulkan bahawa Sang Nila adalah seorang yang mempunyai strategi yang licik dan berwawasan. Penamaan Singapura berdasarkan anggaran Sang Nila bahawa makhluk yang beliau nampak itu hebat dan menggerunkan. Beliau dengan pantas menggunakan pengalaman tersebut untuk memberi sebuah harapan supaya Singapura juga akan menjadi megah dan disegani. Cuba bayangkan jika beliau memilih nama yang lain seperti “Kota Pasir Putih” atau “Kota Kecil” berdasarkan pengalaman beliau yang lain. Pasti, Singapura tidak akan mendapat sambutan yang hebat di konteks di mana persaingan di antara kota-kota yang berdekatan dengan Singapura terlalu sengit. Penggunaan nama “Singapura”, dengan kata lain, adalah dengan tujuan untuk mempromosi sebuah pelabuhan baru yang dahulunya dikenali dengan nama yang kurang bermakna dan kurang diingati iaitu, Temasek.

Bersambung Bahagian 3

2 R.J. Wilkinson, A History of the Peninsular Malays with Chapters of Perak and Selangor (Singapore: Kelly & Walsh, Limited, 1920), p. 19.

3C. C. Brown, Sejarah Melayu or Malay Annals, Kuala Lumpur: O.U.P, 1970), pp. 13-56.

Photo Credit: chooyutshing via Compfight cc

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment