≡ Menu

Tunggak Pembinaan Tamadun Singapura: Raja-Raja Melayu di Abad ke-14 Bahagian 3

Lanjutan dari Bahagian 2

Haji Buyong Adil menyokong pandangan ini dengan menyatakan bahawa:

“Dan lagi pun kita tidak boleh hairan kalau di Temasik tidak ada singa dan pulau itu dinamakan “Singapura” kerana singa yang dimaksudkan itu bukanlah binatangnya, tetapi mengambil simbol kegagahan dan kekuatannya. Raja Shailendera yang pernah memerintah di Jawa Tengah, dan kemudian memerintah di Seri Wijaya pada zaman dahulu, juga menggunakan gambar singa pada jata kerajaannya, bahkan di belakang tempat raja itu bersemayam pun dihiasi gambar singa sebagai tanda kebesarannya.”1

Sejarah Melayu menceritakan bahawa Sang Nila dengan tidak membuang masa meminta bondanya di Palembang untuk menghantar tenaga kerja dan hewan seperti gajah untuk memudahkan pembukaan Singapura, khususnya di kawasan yang berdekatan dengan laut dan bukit. Dia juga menggunakan jasa Orang Laut untuk membangun kerajaannya yang baru. Dari sudut ini, kita boleh mengambil kesimpulan bahawa pembukaan Singapura bukanlah kejadian insidental melainkan ia adalah berdasarkan kepada pengetahuan geografi dan geopolitik kawasan yang ada di dalam mata pemikiran Sang Nila. Beliau dapat melihat potensi Singapura kerana pulau tersebut belum lagi dijelajahi, apatah lagi, Singapura terletak di kawasan yang strategik di antara Selat Melaka dan lautan Cina. Lebih dari itu, Sang Nila juga akur bahawa kerajaan Sriwijaya pada waktu itu sangat lemah. Beliau menganggarkan bahawa waktunya telah tiba untuk membangunkan sebuah kota pelabuhan baru yang boleh bersaing dengan pelabuhan lain seperti di Jambi, Sunda, Jawa Tengah, Kedah dan Chaiya yang dulunya di bawah pengaruh empayar Srivijaya.2

Setelah membina pelabuhan, menanam benih penempatan baru dan mewujudkan rangkaian perdagangan yang berfungsi dengan baik selama empat puluh lapan tahun, Sang Nila wafat dan telah digantikan oleh anaknya, Seri Pikrama Wira yang menjadi pemerintah selama 15 tahun dari 1347 hingga 1362. Zaman pemerintahannya dipenuhi dengan ancaman dari kerajaan-kerajaan berdekatan. Raja Siam menghantar 70 kapal perang untuk mengepung Singapura selama beberapa minggu. Kerajaan Majapahit di Jawa pula pernah menyerang Singapura dengan lebih daripada 100 kapal perang. Kedua-dua percubaan untuk mengambil alih Singapura gagal dan ini membawa bukti bahawa raja Seri Pikrama telah membangunkan mekanisme pertahanan yang hebat sehingga dapat mengalahkan penceroboh asing. Walaupun benteng Singapura tidak pernah tewas, Seri Pikrama mengambil langkah strategik dengan meletakkan kerajaannya di bawah lingkungan pengaruh kerajaan Majapahit yang berleluasa di rantau nusantara semasa pemerintahan Raja Hayam Wuruk (1350-1389).3 Dengan mengambil keputusan strategik itu, Seri Pikrama dapat mengelakkan peperangan dengan Majapahit dan kerajaan yang lain sementara memberi tumpuan kepada perdagangan dan pembinaan tamadun Singapura.

Percubaan oleh kerajaan Siam dan Majapahit untuk meletakkan di Singapura di bawah naungan mereka memaparkan hakikat bahawa Singapura telah mendapat banyak pengiktirafan sebagai sebuah tamadun. Keagungan Singapura, oleh itu, mendatangkan rasa cemburu di kalangan kerajaan yang lain.

Bersambung Bahagian 4

1 Haji Buyong Adil, Sejarah Singapura (Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980), p. 27.

2Nora A. Taylor, Studies on Southeast Asia (Studies on Southeast Asian Art: Essays in Honor of Stanley J. O’Connor)Southeast Asia Program Publications, 2000), p. 199.

3 John Leyden, Malay Annals (London: Longman, 1821), p. 52.

 

Photo Credit: chooyutshing via Compfight cc

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment