≡ Menu

Tunggak Pembinaan Tamadun Singapura: Raja-Raja Melayu di Abad ke-14 Bahagian 4

Lanjutan dari Bahagian 3

Malah, begitu terkenal Singapura di zaman Seri Pikrama Wira sehingga para pelancong dan pedagang dari China dan Eropah yang melawat pulau itu merekodkan secara terperinci pengalaman mereka di sana. Salah satu daripada pelancong dan pendagang yang menulis tentang  Singapura di abad ke 14 adalah Wang Dayuan (1311-1350). Bukunya yang bertajuk “Tao Yi Chih Lueh (Lakaran Kepulauan dan Bangsa Asing)”, kini merupakan sumber penting bagi kita untuk memahami keadaan masyarakat dan ekonomi Singapura pada waktu itu.

Setelah kematiannya, takhta Seri Pikrama telah diambil alih oleh anak sulungnya, Seri Rana Wira Kerma yang hidup sewaktu dengan pahlawan legenda yang bernama Badang. Walaupun autonomi pulau Singapura telah luput ke tangan kerajaan Majapahit pada tahun 1365, Rana dapat berkuasa selama sepuluh tahun. Ini tidak mungkin menjadi kenyataan jika tidak kerana kemahiran diplomatik raja dalam mengelakkan sebarang serangan fizikal dari Majapahit yang boleh bermakna kemusnahan Singapura.

Paduka Seri Maharaja, yang juga dikenali sebagai “Raja Dam” atau “Raja Dama”, mengambil alih Seri Rana apabila beliau wafat pada tahun 1375. Raja keempat ini memerintah Singapura yang telah dinodai pelbagai masalah. Di antara masalah besar yang dihadapi Raja Dama adalah bencana alam yang datang dalam bentuk serangan ikan todak. Serangan tersebut mengorbankan banyak nyawa rakyat jelata. Walaupun masalah tersebut dapat diatasi, Raja Dama dikelilingi penasihat dan menteri yang memberi usulan yang mendatangkan banyak kemudaratan. Raja Dama meninggal dunia pada 1388 memberi ruang untuk Iskandar Syah untuk mewarisi sebuah kerajaan yang sudahpun lemah dan tidak terurus. Namun begitu, perdagangan dan perlabuhan Singapura masih tetap berfungsi dengan baik.1

Identiti raja Iskandar Syah masih diselubungi ketidaktentuan. Sejarah Melayu menerangkan bahawa beliau berketurunan raja-raja Singapura. Tetapi terdapat bukti daripada sumber-sumber Portugis bahawa Iskandar adalah seorang putera dari Palembang yang membunuh Seri Rana selepas beliau diberi perlindungan untuk tinggal bersama keluarga diraja di Singapura. Mana-mana pandangan yang benar, yang jelas ialah Iskandar adalah satu-satunya raja Islam di antara raja-raja Singapura yang kesemuanya yang beragama Hindu-Buddha. Beliau memeluk Islam mungkin di atas dorongan keuntungan ekonomi yang dapat beliau raih dari perdagangan dengan orang Persia dan Arab yang sangat aktif di rantau nusantara. Bukti bahawa pemelukkan dan pemahaman Islam beliau sangat cetek boleh dilihat di sumber-sumber Melayu, Jawa dan juga Portugis. Iskandar digambarkan sebagai seorang yang zalim dan tidak saksama.

Mengesyaki bahawa salah seorang gundiknya tidak setia kepadanya, Iskandar menghina perempuan yang malang itu di khalayak ramai. Perbuatan Iskandar mengecewakan Sang Rajuna Tapa, bapa gundik itu yang sekaligus adalah seorang menteri di Singapura. Kerana marah terhadap perbuatan Iskandar, Sang Rajuna yang mengatur serangan tentera Majapahit ke Singapura. Pada tahun 1398, Singapura akhirnya ditakluk dan kemudiannya dimusnahkan oleh tentera Majapahit. Tamadun yang di suatu masa menjadi kebanggaan umat Melayu ditinggalkan dengan keadaan terbiar sehinggakan ia tidak lagi menjadi pusat perdagangan penting selama empat ratus tahun yang akan datang. Sultan Iskandar Shah, melarikan diri dan mendirikan semula kerajaan baru di Melaka.2

Bersambung Bahagian 5

1 W. Lineham, The Kings of 14th Century Singapore, Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, 42, 1, pp. 55-61.

2 P.V. van Stein Callenfels, “The Founder of Malacca”, JMBRAS, XX, 2, 1 (1947), pp. 63-70.

 

Photo Credit: chooyutshing via Compfight cc

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment