≡ Menu

Tunggak Pembinaan Tamadun Singapura: Raja-Raja Melayu di Abad ke-14 Bahagian 5

Lanjutan dari Bahagian 4

Raja Melayu dan Penubuhan Tamadun Singapura

Dari penerangan ringkas di atas, kita dapat lihat bahawa jatuh bangunnya tamadun Singapura sangat bergantung kepada kepandaian dan kecekapan raja-raja Singapura. Di bahagian seterusnya, saya akan beralih kepada penganalisaan sumbangan raja-raja di dalam membentuk empat aspek ketamadunan Singapura.

1. Hubungan Mesra dengan Bandar-Bandar Lain

Raja-raja Singapura telah menjalinkan hubungan yang akrab dengan bandar-bandar dan kerajaan-kerajaan kejiranan seperti di Kalinga, Pasai, Perlak dan Majapahit dan fakta ini telah banyak didokumenkan di dalam pelbagai sumber. Walaupun hampir kesemua raja-raja Singapura menganut agama Hindu, mereka tetap menjalinkan hubungan baik dengan kerajaan-kerajaan Islam di nusantara pada waktu itu kerana memandangkan faedah yang dapat diraikan daripada mereka. Hubungan erat dengan raja-raja Pasai dan Perlak, kedua-duanya telah memeluk agama Islam pada abad ke-12, bermakna bahawa konflik di antara dengan kerajaan Hindu Singapura dan kerajaan Islam yang lain dapat dielakkan. Malahan, adalah menjadi suatu perkara yang sangat ironik bahawa ancaman terbesar bagi kerajaan Singapura sebenarnya datang dari kerajaan seagamanya, iaitu, Majapahit di Jawa dan juga kerajaan beragama Buddha di Siam.1

Sangat erat hubungan raja-raja Singapura dengan dengan kerajaan-kerajaan lain di rantau sehingga Salasilah Raja-Raja Berunai (Brunei Annals) membawa bukti bahawa Sultan Muhammad Shah (sultan pertama Brunei) telah berkahwin di Singapura dan bukan di istana beliau sendiri. Sebelum memeluki Islam, Sultan Muhammad Shah telah berkahwin dengan seorang puteri Johor, Puteri Dayang Pinggai, di dalam satu acara perkahwinan yang mengukuhkan lagi hubungan dengan Singapura, sebuah kerajaan yang berdekatan. Bahawa Sultan Muhammad Shah telah memilih untuk berkahwin Singapura dan tidak di wilayah sendiri mencadangkan kepada kita beberapa perkara. Pertama, Singapura adalah tempat yang indah dan masyhur. Perkahwinan sebagai seorang raja di Singapura dianggap oleh Sultan Muhammad Shah sebagai satu penghormatan sama seperti anggota royalti pada hari ini yang melihat penobatan dan perkahwinan di Istana Buckingham di England atau Istana Topkapi di Turki sebagai satu keistimewaan.

Selain dari itu, perkahwinan Sultan Muhammad Shah di Singapura juga memberi bukti kepada kita akan tahap kepercayaan yang tinggi telah terbentuk di antara kedua-dua kerajaan. Walaupun kita tidak mempunyai sumber mengenai aktiviti dan diskusi di antara dua kerajaan, kita boleh membuat spekulasi bahawa hubungan yang kerajaan ini lebih mendalam daripada hanya menjurus ke arah kepentingan ekonomi dan politik. Sebaliknya, telah terwujudnya hubungan peribadi dan timbal balik yang mengakibatkan kedua-dua kerajaan itu sangat yakin antara satu sama lain dan mengamanahkan satu dengan yang lain berkenaan dengan acara yang begitu penting seperti perkahwinan Raja.2

Hubungan Singapura dengan kerajaan-kerajaan lain melampaui dunia Melayu. Sang Nila Utama, contonya, telah menjalin hubungan dengan kerajaan Chola di India dengan mengahwini salah seorang puteri di sana. Raja-raja Singapura yang lain juga telah membuat lawatan diplomatik ke negeri Cina untuk memberi penghormatan kepada pemimpin-pemimpin kuasa besar masa mereka. Hubungan mesra dengan kerajaan India dan Cina bermakna bahawa rangkaian perdagangan yang berada di bawah naungan kedua-dua kerajaan terbuka kepada Singapura. Malah, ia menjadikan Singapura masyhur di kalangan ramai pedagang kaya di kedua-dua kerajaan besar pada abad ke-14.3

Bersambung Bahagian 6

1Susan Tsang and Audrey Perera, Singapore at Random, (Singapore: Editions Didier Millet, 2011) p. 120.

2 Sila lihat: Pehin Orang Kaya Amar Diraja Dato Seri Utama Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri, Tarsilah Brunei (Bandar Seri Begawan: Jabatan Pusat Sejarah, 2001), pp. 49-51.

3 Haji Buyong Adil, Sejarah Singapura, p. 28.

 

Photo Credit: chooyutshing via Compfight cc

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment