≡ Menu

Tunggak Pembinaan Tamadun Singapura: Raja-Raja Melayu di Abad ke-14 Bahagian 6

Lanjutan dari Bahagian 5

2. Sebuah pemerintah yang kuat dan stabil

Singapura tidak mungkin boleh menjadi tamadun yang menyumbang tanpa kewujudan struktur politik yang mantap. Raja Singapura berada di puncak pemerintahan politik di abad ke-14 Singapura. Kehebatan beliau diperkukuhkan melalui ideologi dan hierarki yang jelas. Dari sudut ideologi, Raja Singapura mendakwa bahawa beliau adalah seorang anak dewa dan berketurunan Raja-raja Besar, di antaranya ialah, Iskandar Zulkarnain. Dakwaan bahawa raja adalah berketurunan Iskandar Zulkarnain sangat efektif di dalam konteks itu kerana ia memberi gambaran kepada rakyat bahawa raja mempunyai dengan kuasa-kuasa yang melebihi manusia biasa. Makhluk moden seperti kita mungkin tidak dapat menerima apalagi percaya ideologi sebegitu namun di dalam dunia abad ke-14 di mana mitos dan legenda dianggap oleh rakyat jelata sebagai perkara yang benar-benar wujud, asal-usul mitos raja-raja memastikan kepatuhan dari rakyat dan mengurangkan kemungkinan tercetusnya pemberontakan.

Pemerintah yang kuat dan stabil tidak hanya bergantung kepada ideologi. Raja-raja Singapura memastikan adanya hierarki social yang kemas dengan menekankan penggunaan perkataan-perkataan seperti ‘tuan’, ‘patik’ dan ‘hamba’ sebagai sebahagian daripada percakapan hari-harian di dalam dan luar istana diraja. Di kalangan golongan bangsawan, gelaran seperti ‘Awang’, ‘Dara’, ‘Bendahara,” Penghulu Bendahari,” Temenggong’, ‘Laksamana’ adalah gelaran yang ditekankan supaya terlahirnya stratifikasi politik dua peringkat – antara rakyat biasa dan golongan elit politik dan antara peringkat yang tinggi dan peringkat rendah keluarga diraja.

Ahli sejarah Oliver Wolters menyatakan bahawa gelaran sedemikian adalah satu ‘hierarki mahkamah yang beroperasi sepenuhnya’ hampir sama seperti apa yang dipraktikkan di Kesultanan Melaka.1Kita boleh memberi perincian bagi hujah ini dengan menenekankan bahawa yang bukan sahaja hierarki mahkamah Singapura sama dengan apa yang pernah wujud di Melaka malahan jentera politik keseluruhan telah melindungi kedua-dua kerajaan dari kebangkitan rakyat. Yang jelas, raja-raja Singapura bebas daripada sebarang pergolakan besar-besaran walaupun mereka dicabar dari semasa ke semasa oleh komplot di antara menteri-menteri yang bercita-cita untuk mencetuskan krisis politik atau untuk menyingkir musuh-musuh mereka. Komplot seperti itu bagaimanapun tidak membawa kepada keruntuhan tamadun Singapura keseluruhannya sehingga di zaman pemerintahan Iskandar Shah.

3. Sistem ekonomi yang memastikan sejahteraan penduduk

Memang tidak dapat dinafikan bahawa Singapura mempunyai sistem ekonomi yang mewujudkan sejahteraan penduduk pada abad ke-14. Ahli sejarah seperti John Miksic menerangkan bahawa Singapura pada zaman itu adalah “sebuah pelabuhan perdagangan”, iaitu sebuah entiti geopolitik di mana perdagangan merupakan urusan negeri, dan bukan satu fungsi ekonomi dan di mana system ekonomi mendatangkan kemakmuran kepada penduduk perlabuhan itu.2 Yang menjadi persoalan: Bagaimana “pelabuhan perdagangan” itu muncul? Jawapan bagi persoalan ini adalah melalui Raja-raja Singapura yang mengatur golongan shahbandar, iaitu, golongan yang memantau kapal-kapal yang masuk keluar dari perlabuhan. Golongan shahbandar itulah yang menarik pedagang dari rantau nusantara dan bahagian Asia yang lain untuk datang ke Singapura. Merekalah yang memastikan supaya hubungan perdagangan berkembang ke Kota Cina di Sumatra dan ke Pengkalan Bujang di Selatan Kedah, Malaysia. Sumber arkeologi yang ditemui di Kepulauan Riau memberikan bukti bahawa terdapat aktiviti perdagangan sengit antara shahbandar di Singapura, Riau dan juga di pelusuk Jawa dan Sumatra.3

Bersambung Bahagian 7

1 O.W.Wolters, The fall of Srivijaya in Malay History (Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1970), p. 120.

2 John N. Miksic, “14th-Century Singapore: A Port of Trade”, in John Miksic and Cheryl-Ann Low Mei Gek (eds.), Early Singapore: 1300s-1819 (Singapore: Singapore History Museum, 2004), p. 42.

3 Kwa Chong Guan, Derek Heng and Tan Tai Yong, Singapore: A 700-Year History (Singapore: National Archives of Singapore, 2009), p. 19.

 

Photo Credit: chooyutshing via Compfight cc

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment