≡ Menu

Tunggak Pembinaan Tamadun Singapura: Raja-Raja Melayu di Abad ke-14 Bahagian 8

Lanjutan dari Bahagian 7

Mengenai perihal budaya, penemuan arkeologi baru-baru kini telah mendedahkan bahawa penduduk tempatan di Singapura sangat kaya dan telah membuat dan berdagang perhiasan dan bahan-bahan perumahan mereka sendiri. Cheryl Ann-Low di dalam kajiannya contohnya menulis: “Banyak kaca Cina telah ditemui dari tapak arkeologi Fort Canning. Ini termasuk lebih 8,000 manik berwarna kuning, merah, putih, biru, hijau dan hitam, dan serpihan dari kapal dan gelang. Satu serpihan sebuah gelang kaca India juga ditemui.1

Walaupun penemuan yang didokumenkan oleh Cheryl Ann-Low ini mungkin bertumpu kepada kumpulan elit di Singapura pada waktu itu, penemuan lain seperti ratusan cawan, periuk dan pinggan mencadangkan bahawa penduduk Singapura ketika itu adalah sangat terdedah kepada produksi seni dan budaya di tahap yang tinggi, memandangkan jumlah kecil penduduk di situ. Oleh kerana gabungan di antara masyarakat di dalam membina budaya yang bertenaga, Singapura di bawah pemerintahan raja-raja dapat yang menarik peniaga dari tempat yang jauh untuk datang berdagang dan merakam apa yang mereka lihat dan kagumi.

Rumusan

Tiada tamadun boleh dibina tanpa pemimpin yang bijak dan berpandangan jauh. Singapura pada abad ke-14 dikurniakan dengan raja-raja yang dapat melihat potensi pulau itu dan mengorak langkah yang penuh berhikmah bagi merubah sebuah pulau yang usang untuk menjadi perlabuhan yang masyhur. Raja-raja tersebut bukan sahaja memastikan penciptaan suatu sistem politik yang kukuh, mereka juga mengekalkan hubungan yang rapat dengan kerajaan-kerajaan lain bagi memaparkan Singapura sebagai pusat di mana raja-raja Melayu boleh berdagangan di samping mengibarkan kebudayaan mereka. Apa yang muncul dalam tempoh yang singkat sejarah awal Singapura adalah satu tamadun yang menjadi satu sumber kebanggaan sejarah Melayu dari zaman ke zaman.

Walaupun raja-raja Melayu telah banyak menyumbang kepada penciptaan dan pembinaan tamadun Singapura, segelintir daripada mereka juga telah membawa kepada kejatuhannya. Kejatuhan Singapura pada awal abad ke-15 akibat serangan empayar Majapahit membawa iktibar kepada kita bahawa sebuah tamadun yang gilang gemilang boleh pupus dalam jangka masa yang singkat sekiranya pucuk pimpinan tamadun itu gagal menjaga etika politik, akhlak keperibadian dan keharmonian masyarakat. Sememangnya, daripada kisah Singapura kita dapat pelajari bahawa Raja adalah Tunggak Pembinaan Tamadun Melayu. Jika Raja itu Gagah dan Bijaksana, Gagahlahlah Tamadun Melayu. Jika itu Raja Zalim dan Buta Hati, maka Hancurlah Tamadun Melayu yang di suatu masa dahulu, Megah dan Perkasa.

1 Cheryl-Ann Low Mei Gek, “Singapore from the 14th to 19th Century”, in John Miksic and Cheryl-Ann Low Mei Gek (eds.), Early Singapore: 1300s-1819 (Singapore: Singapore History Museum, 2004), p. 18.

 

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment